Muat Turun:

Borang Keahlian

ALAMAT SEKREATARIAT GAP 

No.75-77, Jalan Dato Onn Jaafar, 30300 Ipoh Perak.

Tel: 05-2541146, 05-2540741

Fax:05-2548899.

 
BERITA SEMASA

 

MAULUDIR RASUL : TITAH SULTAN PERAK

Berdasarkan titah ucapan baginda pada majlis berkenaan, jika diamati ia mempunyai maksud yang amat dalam untuk difahami.

Bernama melaporkan, Sultan Azlan menitahkan, umat Islam sewajarnya mencontohi kemuliaan sifat dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memberi rahmat ke seluruh alam sehingga membina satu tamadun yang agung.
Sultan Perak bertitah Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.

"Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda."Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda," titah Sultan Azlan Shah ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melancarkan program Bulan Dakwah peringkat negeri di sini hari ini.

Sultan Azlan Shah bertitah sebaliknya Nabi Muhammad terus mencari jalan secara berhemah untuk kumpulan yang menentangnya agar dipertemukan dengan kebenaran dan akhirnya memberi sokongan serta bekerjasama dengannya.Baginda bertitah Nabi Muhammad juga menghargai orang-orang yang berjasa dalam hidupnya yang diperlihatkan melalui layanan kepada anggota keluarganya termasuk di kalangan anggota keluarga yang enggan memeluk Islam."Tamadun yang agung itu dibina daripada pancaran sifat yang melihatkan watak dan keperibadian mulia dan berhemah. Sifat dan watak yang membuatkan kawan merasa hormat dan lawan merasa segan," titah baginda.

Selain itu, Sultan Azlan Shah bertitah dakwah Islam perlu dilaksanakan sebagai usaha serta tindakan yang berterusan dan sewajarnya berlaku sepanjang hayat bukannya bermusim."Dakwah yang berkesan bermula dengan usaha kecil, bermula dengan bercakap benar, bersifat jujur dan melakukan amalan secara ikhlas."Dakwah akan subur jika setiap insan tidak mengumpat, tidak melakukan fitnah, tidak berhasad dengki dan tidak bersifat haloba. Dakwah akan dapat dijayakan jika setiap insan menghayati nilai-nilai amanah dan bertanggungjawab yang diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian".

Sultan Perak bertitah dakwah akan berkembang apabila insan memiliki perasaan kasih sayang, mengamalkan sikap menghormati, sentiasa merendah diri dan insaf akan sifatnya sebagai hamba kerdil di sisi penciptanya yang Maha Agung.

 

Petikan dari Bernama. 10 Mac 2009. ( Diedit oleh admin ).

 

                                                                                                                                          copyright © 2009 gap.org.my. Graduan Anak PERAK