BERITA
SEMASA
Nilai murni asas kukuh Negara
KUALA LUMPUR 26 Jan. – Nilai-nilai murni seperti
kebebasan beragama, toleransi, keamanan dan
kesaksamaan yang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia
selama ini akan terus menjadi asas kukuh kepada
negara ini, walaupun berlaku perbuatan vandalisme
terhadap gereja dan tempat ibadat lain di dalam
negara baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
kepelbagaian penduduk yang terdiri dari pelbagai
bangsa dan agama merupakan kekuatan sebenar negara
ini, yang merupakan asas di mana kerajaan akan terus
membangunkan 1Malaysia, gagasan yang beliau lahirkan
yang bertujuan menjadikan Malaysia negara yang kukuh
dan saksama.
“Ia merupakan cabaran besar tetapi secara bersama ia
boleh menjadi kejayaan terbesar kami,” katanya
ketika menulis dalam sudut pendapat dalam majalah
The Wall Street Journal yang diterbitkan hari ini.
Najib menegaskan bahawa perbuatan vandalisme ke atas
rumah-rumah ibadat dan membakar gereja Metro
Tabernacle Church, baru-baru ini dan dituruti dengan
reaksi kuat daripada rakyat Malaysia ‘boleh diubah
menjadi detik yang boleh kami pelajari.’
Dalam ruangan itu, Najib turut menjelaskan bahawa
bertentangan dengan gambaran yang dibuat oleh
sesetengah laporan antarabangsa, semangat luhur
sebenar rakyat Malaysia jelas terpancar, sebaik
sahaja berlaku perbuatan vandalisme ke atas gereja
dan lain-lain tempat ibadat di dalam negara.
“Kumpulan orang Islam telah sukarela untuk
melindungi gereja di kawasan mereka. Aktivis sosial
Islam telah menulis menolak perbuatan vandalisme
yang sia-sia itu. Kumpulan sivik Islam juga
berganding bahu dengan orang Kristian, Hindu dan
Buddha bagi memastikan semua orang bebas mengerjakan
ibadat seperti yang mereka kehendaki,” kata Perdana
Menteri.
Najib berkata, pemimpin masyarakat Kristian dan
Islam juga menyeru agar semua pihak bertenang dan
diadakan dialog antara agama, kerana mereka sedar
bahawa orang yang melakukan perbuatan tersebut
sebenarnya tidak mewakili majoriti masyarakat Islam
di dalam Malaysia.Beliau berkata, semua rakyat akan
bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut dan
menegaskan bahawa Malaysia sudah tentu bukanlah
negara pertama di mana terdapat sebilangan kecil
individu melakukan jenayah mereka dengan alasan
untuk menyokong agama tertentu.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan mendekati
rakyat dengan lebih dekat untuk mengadakan dialog
terbuka dan berusaha untuk menyelesaikan isu
sensitif. Najib berkata, negara mesti mengekalkan
masyarakat yang terbuka dan adil di mana peluang
untuk semua akan terus subur.
“Perubahan telah dibuat seperti meliberalkan
keperluan pemilikan dalam sektor utama ekonomi,
menggalakkan pelaburan langsung asing, mewujudkan
klinik-klinik 1Malaysia untuk memberi perkhidmatan
kesihatan di samping memperluaskan peluang pelajaran
kepada semua rakyat,” katanya.
“Kami tidak akan berganjak daripada hasrat untuk
mencapai 1Malaysia,” kata Najib di dalam ruangan itu.
Petikan dari Utusan. 27/01/2010. |