BERITA
SEMASA
MASYARAKAT ISLAM TERUS
MEMBANTAH !

KUALA LUMPUR 3 Jan -
Sebanyak 13 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
hari ini membuat laporan polis terhadap akhbar
mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly
bagi menghalang penggunaan kalimah Allah dalam
penerbitannya. Antara NGO itu ialah Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Permuafakatan
Ummah (Pewaris), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia
(IRIMM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia.Setiausaha Agung PPIM,
Datuk Dr. Ma'amor Osman
menyifatkan tindakan akhbar mingguan itu sebagai
biadab dan tidak memikirkan sensitiviti pelbagai
kaum di negara ini.Menurut beliau, Allah adalah
Tuhan bagi umat Islam yang dikenali melalui
sifat-sifat tersendiri. Beliau juga bimbang jika ada
pihak akan bangkit dengan keputusan mahkamah sivil
tersebut yang dianggap menghina Islam apabila
diadili oleh seorang hakim bukan Islam. Mengulas
lanjut beliau berkata, pihaknya bertindak mengikut
perlembagaan negara fasal 11(4) yang secara jelasnya
melarang mana-mana pihak selain Islam menggunakan
kalimah Allah.
Sementara itu, Presiden
IRIMM, Amir Amsaa Pitchay berkata, tindakan akhbar
mingguan tersebut seolah-olah memperlekehkan
kedaulatan serta mencemari kedudukan Islam.
Dalam pada itu, Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,
Muhammad Faisal Abdul Aziz pula menegaskan sekiranya
tindakan akhbar mingguan tersebut 'dihalalkan' maka
kalimah Allah yang merupakan satu perkara agung
tidak lagi menjadi hak eksklusif bagi umat Islam.
Pada 16 Februari lepas,
Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri
Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu,
memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi
menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri
Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan
'Allah' dalam majalah itu adalah haram dan perkataan
itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Diedit oleh admin. Petikan dari Utusan Online. 4hb
Januari 2010 |