BERITA
SEMASA
Jaringan komunikasi canggih
disediakan

PUTRAJAYA 10 Nov.
- Kerajaan telah menyediakan infrastruktur
komunikasi nasional yang canggih bagi menghubungkan
1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan dengan
gentian optik.
Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak berkata, melalui pelaksanaan
itu para pelanggan Internet dapat menikmati kelajuan
antara 10 megabit sesaat kepada satu gigabit.
"Jaringan jalur lebar
berkelajuan tinggi itu menyediakan platform bagi
membangunkan aplikasi ICT untuk masa depan selain
memberi peluang kepada rakyat, ahli perniagaan dan
agensi kerajaan meningkatkan daya saingnya," katanya.
Beliau berkata demikian
dalam ucapan pembukaan ketika mempengerusikan
Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor
Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-12 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini
hari ini.
Menurut Perdana Menteri,
infrastruktur berkenaan penting kerana kerajaan
menyedari tidak ada negara yang boleh dimajukan
tanpa mempunyai komponen teknologi utama.
"Negara yang telah
memiliki kemajuan teknologi akan meneruskan
kegemilangan mereka manakala mereka yang gagal
mencipta inovasi dalam ekonomi akan ketinggalan,"
kata beliau.
''Sejak penubuhannya 13
tahun lalu, MSC Malaysia sekarang muncul sebagai hab
ICT bertaraf dunia apabila lebih 2,000 syarikat
beroperasi di sini dengan perolehan sebanyak AS$5
bilion setahun.
"Menyediakan 90,000
pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengeksport
barangan dan perkhidmatan bernilai AS$1.6 bilion,"
katanya.
Tambah beliau, MSC
Malaysia juga akan menjadi tumpuan kepada
pembangunan multimedia kreatif dengan kewujudan 200
syarikat kandungan digital yang menjana pendapatan
AS$200 juta selain menyediakan 7,000 peluang
pekerjaan.
Kata Perdana Menteri,
MSC Malaysia yang memasuki pembangunan fasa ketiga
mulai 2011 bukan sahaja perlu memberikan sumbangan
untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara malah
menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh
dunia pada masa ini.
"Ini kerana kita telah
dapat melihat bagaimana teknologi telah memberikan
kekayaan yang besar selain menyelesaikan pelbagai
masalah di serata dunia," katanya.
Justeru, kata beliau,
kerajaan telah mengambil langkah segera melakukan
reformasi komprehensif ke atas pasaran modal selain
memperkenalkan langkah liberalisasi sektor
perkhidmatan.
Petikan dari Utusan. Diedit oleh admin. 11/11/2009. |