Muat Turun:

Borang Keahlian

ALAMAT SEKREATARIAT GAP 

No.75-77, Jalan Dato Onn Jaafar, 30300 Ipoh Perak.

Tel: 05-2541146, 05-2540741

Fax:05-2548899.

 
BERITA SEMASA

Bahaya matlamat menghalalkan cara

Sekali lagi artikel saya dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Sin Chew, Nanyang Siang Pau dan beberapa laman web pembangkang. Beberapa isu dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan. Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya yang akan diputarbelitkan. Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamerkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri. 

Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi. Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.  

Mereka begitu pandai berpolitik. Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin, mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin besar kepala seperti kaduk naik junjung. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan. 

Saya cuma mengingatkan kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan kes ini menjadi precedent, yang akan menghalalkan segala perlakuan sumbang selepas ini? Saya dituduh kerana cuba memasuki unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya, adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga tidak perlu disahkan. Sila rujuk undang-undang Jabatan Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran dan kematian 1975. 

Kes yang sama berlaku di Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis. Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam, dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai ekstremis atau pelampau. Manakala tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan majoriti umat Islam, dihalang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor.  

Tindakan DAP ini teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis? Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari, perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif, malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama Islam.  

Persoalannya, adakah mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif? Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu. Bila isu berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap tidak penting.

Justeru, saya minta parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan cara. ISA amat relevan untuk orang seperti ini.  

Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu. Sebarang percubaan untuk mengislamkan atau memelayukan identiti negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk menegakkan Negara Islam.  

Saya amat berharap PAS mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini. Lebih baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak. Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan Islam. DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama.  

Kita selalu berhujah untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya, apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita bertanggungjawab selepas itu. Persoalan saya, bagaimana jika selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa? Sudah tentu wanita. Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa terbela. 

Petikan dari Utusan.Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Diedit oleh admin. 10/08/2009.
 

Petikan dari agendadaily. Diedit oleh admin 05/08/2009.

                                                                                                                                          copyright © 2009 gap.org.my. Graduan Anak PERAK