Muat Turun:

Borang Keahlian

ALAMAT SEKREATARIAT GAP 

No.75-77, Jalan Dato Onn Jaafar, 30300 Ipoh Perak.

Tel: 05-2541146, 05-2540741

Fax:05-2548899.

 
BERITA SEMASA

 

PAKATAN PEMBANGKANG - PAKATAN ROJAK

  

Bertempat di MPT Changkat Jering, Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil kawasan tersebut Sabtu (28 Feb)

Pelancaran jentera pilihan raya itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan dengan seramai lebih 3,000 orang hadir bagi menyatakan sokongan mereka terhadap BN.

Dr Zambry dalam ucapannya menyatakan keyakinan beliau akan kemampuan BN untuk merampas kembali kerusi yang sebelum ini milik tradisi UMNO sehinggalah fenomema tsunami politik yang melanda pada 8 Mac tahun lalu menyebabkan kerusi tersebut jatuh ke tangan PAS.

Keyakinan beliau itu berdasarkan pada kehendak rakyat yang mahu terus hidup dalam keadaan aman dan hanya BN mampu menunaikan hasrat mereka berikutan prestasi selama 50 tahun BN dalam mengekalkan  keamanan, kestabilan politik dan keharmonian kaum.

"Kita amat yakin BN akan menang. Rakyat kini semakin menolak pembangkang yang mereka rasakan adalah Pakatan Rojak.

"Jika sebelum ini mereka katakan bahawa Bukit Gantang akan dijadikan referendum rakyat, kini apa yang akan berlaku adalah sebaliknya. Pilihan raya kecil ini akan menjadi satu cara rakyat menghukum mereka," katanya.

Beliau berkata pilihan raya Bukit Gantang adalah medan penting bagi rakyat menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap tindak tanduk pemimpin Pakatan Rakyat yang membelakangkan perlembagaan dan undang-undang termasuklah institusi Raja.

"Mereka boleh kata apa sahaja atau fitnah kita. Tetapi mereka tidak boleh tipu hati rakyat yang bersama BN," kata Dr Zambry dalam ucapan yang begitu berapi dan bersemangat.

Kata beliau tidak seperti pembangkang, BN bukanlah satu parti yang suka mengamalkan sikap menipu atau cuba gula-gulakan rakyat.

"Bagi pembangkang mereka akan buat dan berjanji apa sahaja bagi memastikan mereka menang sesuatu pilihan raya supaya mereka dapat kuasa. Kita tidak lakukan seperti itu," katanya

BN, katanya hanya akan berjanji akan perkara-perkara yang mampu ditunaikan kepada rakyat dan ini adakalanya menyebabkan ada yang beranggapan apa yang dilakukan oleh BN tidak  popular.

"Kita bukan hendak jadi popular. Apa yang penting segala dasar kita adalah yang terbaik buat rakyat," jelasnya.

Dr Zambry menasihati rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan pembangkang yang cuba membayangkan bahawa Perak terus berada dalam krisis.

Beliau juga yakin kemenangan akan berpihak kepada BN kerana semua parti komponen telahpun berikar dan sepakat untuk menyokong calon yang dipilih.

"Isu calon tidak mungkin akan dibangkit atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Kita juga akan memastikan calon yang dipilih itu adalah seorang yang popular, dihormati dan mendapat kepercayaan masyarakat Bukit Gantang," katanya.

Turut hadir adalah naib pegerusi MCA dan pengerusi MCA Perak Datuk Kong Cho Ha, naib presiden MIC Datuk S. Veerasingam, timbalan presiden Gerakan dan pengerusi Gerakan Perak Datuk Chang Ko Youn dan pengerusi PPP Perak Datuk Lee Heng.  

 

 

Petikan dari perakbn. 01hb Mac 2009.

 

                                                                                                                                          copyright © 2009 gap.org.my. Graduan Anak PERAK