BERITA
SEMASA
H1N1 : Elakkan aktiviti luar
IPOH 31 Julai - Seorang
murid tahun empat sebuah sekolah kebangsaan di
Kerian mungkin merupakan mangsa terbaru virus
selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini
apabila kematiannya dikaitkan dengan simptom-simptom
penyakit itu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar,
Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri,
Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, murid tersebut
meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi ketika sedang
menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai.
''Murid ini mengalami
simptom-simptom yang sama iaitu batuk, demam dan
sesak nafas. Tetapi kita belum dapat memastikan
punca kematiannya. ''Sama ada dia dijangkiti H1N1
atau sebaliknya dijangka akan disahkan esok,''
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Hang Soon
berkata, lima lagi institusi pendidikan termasuk
tiga buah sekolah di Perak ditutup hari ini ekoran
penularan wabak H1N1. Sekolah terbabit adalah
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Simpang Lima,
SJK Tamil St. Mary dan Sekolah Kebangsaan (SK)
Wawasan, Pekan Baru, Kerian.
Turut ditutup ialah
Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tegas Mesra,
Selama dan Universiti Teknologi Petronas (UTP),
Tronoh. Semalam, sebanyak sembilan buah institusi
pendidikan ditutup di negeri ini disebabkan H1N1.
Diedit oleh admin
01/08/2009. |