BERITA
SEMASA
Ananda beli Newcastle RM547 juta?

KUALA
LUMPUR -- Individu kedua terkaya di Malaysia, Tan
Sri T. Ananda Krishnan disebut-sebut sebagai prospek
utama untuk menjadi penyelamat kepada kelab bola
sepak England, Newcastle United. Akhbar Britain,
The Sun semalam melaporkan perjanjian bernilai 95
juta pound (RM547 juta) meletakkan taikun media dan
telekomunikasi Malaysia itu dalam senarai teratas
prospek pembeli kelab The Magpies itu.
Akhbar
berkenaan dalam laman web rasminya, www.thesun.co.uk
melaporkan, Ananda menjadi calon pilihan selepas
mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab, Mike
Ashley dan pengarah urusan mereka, Derek Llambias di
London baru-baru ini. Malah, menurut akhbar itu lagi,
hartawan dari Malaysia itu bersetuju membeli kelab
berkenaan dengan harga 40 juta pound (RM230.3 juta)
lebih rendah daripada harga asalnya, 135 juta pound
(RM752 juta) ketika ia dibeli oleh Ashley pada 2006.
Selain
Ananda, terdapat konsortium lain, dipercayai dari
Amerika Syarikat turut berada dalam senarai prospek
pembeli, namun ketika ini, Ananda adalah pilihan
utama Ashley, menurut The Sun. Newcastle, yang
ditubuhkan pada 1892 pernah menjadi antara kelab
Inggeris digeruni dengan memiliki enam kejuaraan
Piala FA (1910, 1924, 1932, 1951, 1952 1955), selain
muncul naib juara Liga Perdana 1995/96 dan 1996/97.
Malah,
bekas penyerang antarabangsa dan kapten England,
Alan Shearer antara bintang besar yang pernah
menyarung jersi pasukan itu, selain bekas Pemain
Terbaik Eropah 2001, Michael Owen, yang baru
menandatangani kontrak bersama Manchester United.
Newcastle juga pernah dibimbing oleh pengurus
ternama dunia seperti Kevin Keegan (1992-1997),
Kenny Dalglish (1997-1998), Ruud Gullit (1998-1999),
Sir Bobby Robson (1999-2004), Graeme Souness
(2004-2006), Glenn Roeder (2006 2007), Sam Allardyce
(2007-2008) dan Kevin Keegan pada 2008.
Bagaimanapun prestasi buruk yang dipamer pasukan itu
musim lalu menyebabkan mereka tersingkir daripada
Liga Perdana dan terpaksa bersaing dalam Liga
Kejuaraan, musim depan - punca utama Ashley mahu
menjual kelab The Magpies itu.
Shearer, walaupun gagal membawa impak besar selepas
dilantik sebagai pengurus sementara Newcastle pada
April lalu, bagaimanapun tetap menjadi pilihan
Ananda untuk menguruskan pasukan andai rancangannya
hendak membeli kelab England itu menjadi kenyataan.
Hartawan Malaysia itu, yang memiliki kekayaan
RM25.9 bilion turut dilaporkan bersedia berbelanja
besar bagi memastikan Newcastle dapat kembali dalam
kancah Liga Perdana pada musim 2010/2011.
Ashley
sebelum ini dilaporkan meletakkan 100 juta pound
(RM555.7 juta) sebagai nilai The Magpies, namun
dengan kelab itu tidak lagi berada dalam liga utama,
maka adalah mustahil untuknya menetapkan harga yang
tinggi. Ananda, 71, merupakan individu ketiga
terkaya di Asia Tenggara dengan menguasai gergasi
telekomunikasi, Maxis Communications Berhad,
syarikat televisyen berbayar, ASTRO All Asia
Networks Plc. (ASTRO) dan Sistem Rangkaian Siaran
Measat (MEASAT Broadcast Network Systems).
|