BERITA
SEMASA

CHE DET - TIMAH BUKAN PERAK
1. Kita sedang melihat
banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang
dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada
yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri
kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar
Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis
berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan
Undangan Negeri Perak.
2. Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh
dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika
Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang
kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah
ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh
maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa
keatas Speaker Dewan.
3. Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan
Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan
bukanlah diantara jenayah yang boleh diambil
tindakan oleh Polis.
4. Sekarang dilaporkan
yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan
Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan,
Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan
Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah
pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti
Pakatan Rakyat berbuat demikian?
5. Dimana pula tempat duduk YAB Zambry? Apakata
kalau YB Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di
tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan
disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan
kerusinya? Apakah YAB Zambry akan berada di Dewan
atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai
sekat YAB Zambry daripada berada dalam Dewan.
6. Bersama-samalah kita rakyat lihat akan peristiwa
yang akan berlaku.
Petikan dari chedet.cc
25hb February 2009.
|