BERITA
SEMASA
PM
: Usah terlalu bernostalgia
PEKAN 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak
terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti
itu pada masa lalu.
''Sekarang
bukan zaman seperti UMNO mula-mula dilahirkan. Ramai
kalangan generasi hari ini tidak berpengalaman
melalui peristiwa penting seperti tragedi 13 Mei dan
kegawatan ekonomi pada 1997.'Jadi, kita tidak boleh
bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana
walaupun jasa menggunung tinggi, ia bukan jaminan
untuk terus mendapat sokongan rakyat," katanya.
Najib seterusnya memberitahu, masyarakat kini
terbahagi dua iaitu kelompok berpendidikan tinggi
yang mempunyai 'kuasa' maklumat dan golongan muda
yang hanya mengetahui peristiwa-peristiwa bersejarah
negara menerusi bacaan dan lisan. Golongan muda kini
juga, jelas beliau, mempunyai banyak pilihan untuk
mendapatkan maklumat menerusi media alternatif
seperti laman web dan blog. Sambil menyifatkan
golongan muda sebagai 'kain putih', beliau mahu
pemimpin dan ahli UMNO mencari kaedah terbaik
mendekati mereka dan menyalurkan maklumat tanpa
dipengaruhi anasir negatif.
''Cara kita (UMNO) berbicara dalam media alternatif
adalah penting. Generasi baru mendapat maklumat
melalui media alternatif dan bukan media arus
perdana.
Najib turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak
hanya menjalinkan hubungan erat dengan ahli parti
semata-mata dan meminggirkan golongan yang berada di
luar parti.
''Bermuhasabah
dan bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka
tidak menyokong kita, kena fikir seperti peniaga
mengapa orang tidak mahu membeli barang kita.
Buatlah analisis.
''Selama
ini, mungkin kita tidak rajin untuk menolong orang
lain, tidak rajin pergi kenduri-kendara dan
majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan penduduk
kampung. Sikap sedemikian menyebabkan UMNO semakin
hilang 'roh' dan semangat sebagaimana yang dilakukan
oleh ahli-ahli parti terdahulu yang berjuang
menentang gagasan Malayan Union," jelasnya.
Petikan dari Utusan. 11hb Mei 2009.
|