BERITA
SEMASA
APAKAH INI WABAK PEMUSNAH UMAT MANUSIA?
Tatkala laporan mengenai
meletusnya wabak selesema babi di seluruh dunia,
satu soalan yang tidak boleh dielakkan ialah apakah
ini wabak yang akan memusnahkan umat manusia?
Apakah ini epedimik
selesema global yang telah lama dijangka dan
dibimbangi oleh pakar-pakar kesihatan awam? Apakah
ini virus pemusnah yang akan membunuh jutaan manusia
di seluruh dunia seperti pandemik yang berlaku pada
1918, 1957 dan 1968?
"Apa yang menjadikan
keadaan sekarang agak sulit ialah kita mungkin
berada di antara krisis kesihatan yang paling buruk
atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh
beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul
lagi.
''Atau satu permulaan
kepada pandemik influenza yang sangat dahsyat,''
kata Michael Osterholm, seorang pakar mengenai wabak
selesema global yang terkenal dari Universiti
Minnesota.
Pegawai-pegawai
kesihatan mahu mengambil setiap langkah untuk
menghalang wabak ini daripada membunuh berjuta-juta
orang. Menelaah influenza dikatakan satu bentuk
ramalan kerana kerajaan Amerika Syarikat (AS) pernah
meramal salah pada 1976 mengenai pandemik selesema
babi yang tidak wujud pun.
Kes pada 1976, bermula
dengan tentera-tentera AS di Fort Dix, New Jersey
yang didapati jatuh sakit akibat satu bentuk
selesema babi yang luar biasa.
Pegawai-pegawai
persekutuan memberikan suntikan vaksin kepada 49
juta rakyat Amerika tetapi pandemik itu tidak
berlaku. Sehingga ke hari ini, pegawai kesihatan
tidak tahu mengapa dan bagaimana virus 1976 itu
berhenti dengan sendirinya.
''Pengajaran pertama
ialah sesiapa sahaja yang cuba membuat telahan
mengenai influenza sering tidak menjadi,'' kata Dr.
Richard Wenzel, bekas presiden Persatuan
Antarabangsa Mengenai Penyakit Berjangkit. Namun
para pegawai kesihatan telah diminta membuat ramalan
apabila panik muka memuncak pada hujung minggu lalu.
Pusat merebaknya wabak
tersebut ialah Mexico, di mana virus itu dikatakan
menjadi punca kepada kematian 86 orang daripada
anggaran 1,400 kes di seluruh negara itu sejak 13
April.
Sekolah-sekolah ditutup,
upacara di gereja dibatalkan dan Presiden Mexico,
Felipe Calderon memperkenalkan kuasa-kuasa khas
untuk melaksanakan perintah kuarantin terhadap
mereka yang dijangkiti virus tersebut.
Sejak tahun-tahun
kebelakangan ini, pakar-pakar menumpukan perhatian
kepada satu bentuk selesema burung yang pertama kali
meletus di Asia yang telah membunuh lebih 250 orang
di seluruh dunia sejak 2003.
Pegawai kesihatan di
seluruh dunia telah mengambil langkah-langkah
persediaan bagi menghadapi kemungkinan ia menjadi
wabak global tetapi sehingga kini virus itu belum
mempunyai keupayaan untuk berjangkit dengan mudah
dari seorang manusia ke seorang manusia yang lain.
Petikan dari Utusan 29hb
April 2009. |