BERITA
SEMASA
Usah
pinggir masyarakat India Muslim
SUNGAI SIPUT – Masyarakat India Muslim adalah
bahagian kecil dalam masyarakat Islam di Malaysia
tetapi dalam Islam tiada alasan untuk meminggirkan
golongan itu.
Penasihat hal ehwal agama Islam kepada Menteri Besar
(MB) Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Mohd
Najmuddin Elias berkata, masyarakat India Muslim
adalah sebahagian kecil daripada masyarakat Islam di
Malaysia malah sebahagian Juzuk dalam agama Islam.
Menurutnya, bukan sesebuah bangsa besar yang
dianggap hebat di sisi Allah tetapi golongan hebat
adalah dalam kalangan hamba-Nya yang bertakwa.
“Masyarakat India Muslim kecil tetapi Islam tidak
mengira kecil atau besar di sisi Allah. Bukan bangsa
yang besar dianggap hebat, sebaliknya yang hebat
adalah dalam kalangan hamba bertakwa,” katanya dalam
ucapan perasmian sempena sambutan Maulidur Rasul
Gepima 2009 di sini, baru-baru ini.
Mohd Najmuddin hadir bagi mewakili MB sebagai tanda
sokongan padu beliau terhadap Pergerakan Belia India
Muslim Malaysia (Gepima) di Perak.
Beliau berkata, perpaduan adalah senjata yang harus
dipegang oleh semua rakyat berbilang kaum di
Malaysia. Kita berbilang kaum di Malaysia tetapi
masih boleh hidup bersatu kerana kita jadikan
perpaduan sebagai lambang kehidupan.
“Hargai keamanan dan perpaduan yang terjalin kini
kerana apabila kita berpecah kita akan rugi dan
pihak lain akan ambil kesempatan,” katanya.
Semua golongan masyarakat harus memberikan semangat
khususnya terhadap India Muslim agar mereka tidak
berasa terpencil berikutan bilangan kecil.
Kita harus beri semangat, khususnya kepada golongan
India Muslim agar mereka tidak berasa terpencil.
Ibaratkan jari kita, kalau berada di peringkat yang
paling rendah itu adalah sebahagian daripada kita
juga. Ini adalah kesinambungan manusia di dunia,
bila bersatu nampak perpaduannya.
Petikan dari SinarHarian. 17hb Mac 2009.
|