BERITA
SEMASA

Pembangkang Mencerca Mufti PERAK
IPOH 20 Feb. - Datuk Seri Harussani Zakaria
mendedahkan, beliau dicerca dan dimaki pembangkang
hanya kerana keengganannya menghadap Sultan Perak,
Sultan Azlan Shah, memohon agar dibubarkan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Perak.
Mufti Perak itu berkata, apabila berlaku perubahan pada kepimpinan
kerajaan negeri, ramai wakil pembangkang datang menemui beliau agar
menggunakan pengaruh memujuk Sultan memihak kepada mereka.
''Saya kata, apa kena mengena hal politik dengan saya, saya tidak
ada kena mengena dengan politik. Kalau pasal agama sudah tentu saya
datang, malah kalau tidak dipanggil pun saya akan datang menghadap
Tuanku.
"Dalam bab peralihan kerajaan negeri, saya tidak campur sepatah
perkataan pun dan sejak kejadian (pertukaran kerajaan negeri), saya
tidak pernah berjumpa Sultan," katanya kepada Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup
mencerca dan memaki beliau di Internet termasuk menuduhnya 'anjing'
ekoran kenyataannya, 'sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah
tetap dianggap menderhaka'.
Terbaru kata Harussani, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS)
fitnah, kononnya beliau pernah berkata dalam salah satu ceramahnya,
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan
bomoh Hindu untuk menundukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi.
"Saya pernah tengok tuduhan itu dulu (dalam Harakah). Saya pernah
ditanya tentangnya, saya pernah cakap saya tak tahu ia betul atau
tidak," jelas beliau.
Kata Harussani, fitnah itu cukup berat dan sebagai orang Islam,
beliau mengingatkan pihak yang berkenaan supaya patuh kepada ajaran
Islam dan bukannya mengikut emosi semata-mata.
"Perbuatan menuduh seseorang itu kafir atau munafik, jika tidak
benar, ia akan berbalik kepada orang yang menuduh itu," tegas beliau.
Ada juga, kata Harussani, menuduh beliau menerima RM50 juta kerana
membuat kenyataan tentang derhaka itu.
"Kalau saya dapat wang sebanyak itu, saya berhenti kerja dan duduk
di Mekah. Biar saya mati di sana. Saya sudah 70 tahun, berjalan pun
bukan kuat sangat lagi.
"Saya cuma sampaikan apa yang saya fahami dalam al-Quran iaitu
hendaklah taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Tetapi ada syarat,
selagi mana tidak menyuruh melakukan maksiat," jelas beliau.
Petikan dari Utusan ( 21hb Februari 2009 )
|