BULETIN GAP
Kurangkan politiking, Lebihkan pada ekonomi !
Graduan Anak Perak berharap pemimpin politik baik kerajaan atau
pembangkang kena insaf. Apa yang mereka sudah capai dalam memenuhi
janji-janji kepada rakyat. Apa yang dibuat hampir setahun ini hanya
menimbulkan pergolakan demi pergolakan.
Kita sedang bergelut memikirkan bagaimana untuk menghadapi masalah
ekonomi yang melanda seluruh dunia. Malangnya, ada pemimpin-pemimpin
yang tidak sudah-sudah dengan politiking, macamlah pilihan raya
diadakan tahun ini.
Graduan Anak Perak melihat pakej rangsangan ekonomi dalam mini bajet
yang akan dibentangkan bulan depan pun tidak banyak mendapat reaksi.
Belum terdengar satu forum atau seminar bakal diadakan bagi
membincangkan cabaran ekonomi sekarang.
Kalau negara maju bertungkus lumus mencari jalan membendung
gelombang yang hampir menenggelamkan ekonomi mereka, apa yang telah
kita lakukan untuk berdepan dengan cabaran ini?
Sejak suku ketiga tahun lalu, kita belum mendengar huraian jelas
tentang strategi pemimpin-pemimpin politik kita untuk menghuraikan
dengan panjang lebar perihal kegawatan ekonomi ketika bersidang di
Dewan Rakyat. Yang dengar, mereka banyak bertekak atas perkara
peribadi dan bukan soal rakyat.
Kemelesetan ekonomi sekarang sepatutnya menyedarkan ahli-ahli
politik untuk memerah otak bagi memastikan ekonomi negara ini
berdaya tahan dan kehidupan rakyat tidak terjejas. Bukan terus fikir
merebut kuasa.
Aksi-aksi demonstrasi jalanan sudah kembali seperti di depan Istana
Kuala Kangsar. Kita harap ia tidak menjadi aksi setiap minggu. Jika
tidak, rakyat akan bertambah bimbang dan risau dengan suasana kancah
politik negara. Tak payah kita ikut rentak politik demonstrasi
seperti negara jiran.
Paling teruk, ia membawa politik negara menjadi tidak stabil. Lihat
bagaimana pemimpin politik parti pembangkang mula menunjukkan belang
mereka. Selepas buat kecoh di dalam Dewan Rakyat, budaya biadab
dijelmakan di peringkat negeri dengan per cubaan mengheret Sultan
Perak ke mahkamah.
Apa yang berlaku di Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Lanjan,
Selangor merumuskan bahawa sesetengah wakil rakyat yang dipilih
rupanya berdasarkan 'tangkap muat'. Jadi yang dipilih tidak
berkualiti, tidak berprinsip, tidak bermoral - bukan pejuang tetapi
pengambil peluang.
Sebab itu, Graduan Anak Perak harap semua pemimpin politik ubah
perangai. Jangan ikut kata hati dan nafsu. Jangan asyik berpolitik
siang dan malam. Orang politik bergaduh, tapi tetap hidup senang.
Yang susah ialah rakyat terutama di Perak. Peluang pekerjaan makin
tiada langsung di sini dan rakyat semakin hilang pekerjaan dalam
kemelut ekonomi dunia.
Rakyat inginkan kestabilan dan kemakmuran. Mereka inginkan negara
ini mencapai Wawasan 2020.
( Diedit oleh adminGAP dari ruangan rencana Utusan. 21hb Februari
2009.) |