BULETIN GAP
Salam Maal Hijrah 1431H/2009M

Bismillahirrahmanirrahim
Bersyukur kita ke hadrat
Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayahNya
dapat kita menyambut Maal Hijrah 1431H bersamaan
2009M pada tahun ini dalam suasana tawadhuk,
kesederhanaan dan penuh kerahmatan. Sambutan ini
mempunyai keunikan dan signifikan besar kepada
perjuangan dan perkembangan tamadun Islam sejak
zaman Rasulullah SAW hinggalah ke hari ini.
Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke
Madinah adalah merupakan satu perancangan strategik
yang dijana melalui pemikiran berasaskan daya
kreativiti dan inovasi melalui penyuburan tradisi
keilmuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Bertepatan dengan tema
Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Memantap Ukhuwwah,
Memperkasa Ummah’. Sesebuah negara yang maju dan
progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi
dan sahsiah diri yang utuh dan mapan. Khaira Ummah
dicerna melalui satu ukhuwwah yang didasari oleh
nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.
Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu
dilaksanakan dalam usaha pembangunan spiritual dan
fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai
kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam
memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat
dicapai dengan lebih berkesan. Semangat Hijrah amat
bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan
oleh Perdana Menteri kita, merupakan kesinambungan
dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.
Gagasan ini berteraskan kepada nilai-nilai murni
berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan
meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di
Negara ini.
Justeru, bersamalah kita
bersatu hati dan bersatu tekad. Hijrahlah diri untuk
sentiasa berprestasi lebih baik walau apa peranan
kita samada sebagai pemimpin, kerajaan mahupun
rakyat. Namun apa yang penting, kita perlu terus
mengurus kejayaan dan membina kekuatan Ummah dengan
membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah
dipupuk selama ini. Ingatlah lipatan sejarah yang
sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang
telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara
Negara membangun paling maju, dinamik dan progresif.
Formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor
perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan
kepercayaan yang berteraskan kepada konsep Wasatiyah
dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber
kekuatan.
Natijahnya, walau apapun
definisi hijrah menurut perspektif kita, yang
penting kita tidak boleh berkonvensi dengan kejayaan
lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis
inovasi baru. Ianya hanya boleh digapai melalui
penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi
tinggi dan dari perpaduan sesama kepada perpaduan
Satu Ummah. Graduan Anak Perak ingin merakamkan
ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431 H kepada
semua umat Islam Malaysia khususnya warga GAP di
mana jua anda berada. Semoga kita dapat bersama-sama
meraikan sambutan Maal Hijrah ini bersama rakan kita
dari pelbagai agama dan bangsa melalui semangat
Hijrah yang mengutuhkan perpaduan dan mengutamakan
keadilan.
Wasalam.
|